Sakit Badan Selepas Bersalin

Gejala sakit belakang serta sakit pinggang memang sering dilalui oleh ibu hamil. Sakit belakang atau pinggang dianggap perkara biasa dalam alam kehamilan dan seperti yang didengari oleh bakal ibu, kebanyakan simptom-simptom tersebut akan berkurangan atau pun hilang sebaik sahaja mereka bersalin.

Malangnya, bagi sesetengah ibu, masalah sakit pinggang dan belakang kekal menghantui mereka malahan kesakitan tersebut semakin bertambah berbanding semasa hamil. Apakah yang menjadi punca sakit yang berkekalan ini dan bagai manakah si ibu dapat melegakannya?

Antara punca-punca yang menyebabkan para ibu mengeluh kerana sakit belakang dan pinggang ialah:

  • Berat badan berlebihan semasa hamil.
  • Postur tubuh semasa duduk atau berdiri tidak betul. Contohnya, semasa menyusukan anak, ibu membongkokkan badan ke arah bayi.
  • Kecederaan pada otot-otot di belakang badan semasa bersalin boleh menyebabkan ibu mengalami rasa sakit-sakit badan.
  • Kurang rehat semasa berpantang menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang badan lambat pulih.
  • Melakukan kerja berat selepas bersalin biarpun bersalin normal atau pembedahan boleh menjejaskan kesihatan tulang belakang badan mereka.

Apa kaitan epidural?
Wanita yang bersalin secara pembedahan sering mengalami masalah sakit belakang badan dan pinggang. Kebanyakan mereka diberitahu punca sakit belakang mereka adalah disebabkan oleh kesan sampingan suntikan epidural yang diberi sebelum pembedahan. Mungkin ramai yang tidak tahu, wanita bersalin normal turut mengalami masalah sakit belakang dan pinggang. Jadi, tiada bukti kukuh yang mengaitkan pengambilan epidural dengan sakit badan mereka.


Kesan sampingan hormon relaxin semasa hamil
Semasa hamil, tubuh wanita mengeluarkan sejenis hormon yang dipanggil hormone relaxin yang berfungsi untuk melonggarkan bahagian sendi dan ligamen pada tubuh untuk memudahkan proses bersalin nanti. Masalah mungkin timbul jika seorang wanita terasa mudah sahaja untuk melakukan pergerakan-pergerakan tertentu semasa hamil disebabkan ligamen-ligamen yang lebih fleksibel ini, sehingga bersenam atau bergerak berlebihan had dan mengakibatkan sakit-sakit badan selepas bersalin.

Cara-cara mudah untuk melegakan sakit badan selepas bersalin
Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi sakit badan selepas bersalin, dan berikut adalah beberapa cara yang efektif dan mudah.

  • Bersenam ikut kemampuan tubuh kerana ia penting untuk menguatkan otot perut dan pelvik. Akan tetapi, dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum melakukannya.
  • Pastikan posisi duduk dan berdiri anda betul.
  • Jangan duduk di atas kerusi yang keras terutama ketika anda memegang bayi anda.
  • Pengambilan kalsium yang berterusan dapat membantu mengurangkan sakit belakang dan pinggang.
  • Mandi air panas dapat membantu merehatkan otot anda.
  • Katil dan tilam biar selesa supaya kualiti tidur tidak terganggu.
  • Kekurangan tidur turut mampu menyebabkan sakit belakang dan juga sendi.

Wanita yang bersalin secara pembedahan perlu menunggu sehingga enam minggu sebelum memulakan senaman. Sebaik-baiknya, dapatkan kebenaran daripada doktor sebelum mula bersenam.


Wanita yang bersalin secara pembedahan perlu menunggu sehingga enam minggu sebelum memulakan senaman. Sebaik-baiknya, dapatkan kebenaran daripada doktor sebelum mula bersenam.


Elakkan sakit belakang
Wanita yang baru bersalin amat mudah terkena sakit belakang akibat tubuh yang masih lemah. Ada juga yang telah mengalami sakit belakang semasa hamil dan keadaan itu berlarutan sehingga selepas bersalin. Berikut adalah cara-cara yang boleh dicuba untuk menghalang masalah sakit belakang selepas hamil:

Senaman
Mulakan senaman sebaik sahaja selepas bersalin bagi memulihkan abdomen dan otot belakang. 10 minit senaman regangan di atas lantai pada setiap hari mampu memulihkan fleksibiliti bahagian belakang badan dan pinggul. Ibu digalakkan untuk melakukan senaman ini semasa bayi sedang tidur.

Jaga pergerakan
Jangan regangkan lengan anda semasa ingin mengangkat bayi anda. Bawa bayi dekat dengan dada anda sebelum mengangkatnya. Elakkan juga daripada memusingkan tubuh anda.

Jika anda ingin mengangkat bayi anda dari lantai, bengkokkan lutut anda bukannya pingang, cangkung dan dekatkan otot perut anda serta angkat menggunakan kekuatan otot kaki anda, dan bukannya tulang belakang. Sama juga jika menggunakan anduh bayi: Gunakan di bahagian hadapan badan anda bukannya di belakang badan.

Peringatan: Jika anda ingin mengangkat bayi anda keluar daripada kerusi makannya atau meletakkan bayi ke dalam kerusi makan, tanggalkan atau ketepikan dahulu dulang pada kerusi makan itu. Juga, elakkan daripada membongkok untuk mengangkat anak anda daripada buaian sebaliknya tarik bayi anda mendekati anda sebelum mendukungnya.

Jaga cara dukung bayi
Jangan mendukung bayi anda di bahagian pinggul kerana ia akan menyebabkan bebanan di bahagian otot belakang badan anda.

Menyusu dengan selamat
Bagi mengelakkan sakit di bahagian belakang semasa menyusukan bayi, bawa bayi anda ke arah payudara berbanding badan anda membongkok ke arah bayi. Anda juga boleh menggunakan kerusi tegak semasa penyusuan – ia dapat memberi sokongan untuk belakang anda berbanding sofa yang lembut.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.