Sakit Belakang Selepas Bersalin

Gejala sakit belakang dan sakit pinggang memang sering dilalui oleh ibu hamil. Sakit belakang badan atau pinggang dianggap gejala biasa yang dialami oleh bakal ibu. Seperti yang didengari oleh bakal ibu, kebanyakan simptom-simptom tersebut akan berkurangan dan menghilang sebaik sahaja mereka bersalin.

Malangnya, masalah sakit pinggang dan belakang badan kekal menghantui mereka malahan sakit yang dirasakan semakin bertambah berbanding semasa hamil. Apakah yang menjadi punca masalah ini kekal kepada ibu dan bagaimanakah cara merawatnya?

Wanita yang bersalin secara pembedahan sering mengalami masalah sakit belakang badan dan pinggang. Kebanyakan mereka dimomokkan punca sakit belakang badan adalah disebabkan oleh kesan sampingan suntikan epidural yang mereka alami semasa proses bersalin. Mungkin ramai yang tidak tahu, wanita bersalin normal turut mengalami masalah sakit belakang dan pinggang. Jadi, tiada sebab kukuh yang mengaitkan mereka yang bersalin secara pembedahan atau mengambil epidural semasa bersalin adalah penyebab kepada simptom tersebut.

Antara punca-punca yang menyebabkan para ibu mengeluh kerana sakit belakang dan pinggang ialah:

  • Berat badan berlebihan semasa hamil.
  • Postur tubuh semasa duduk atau berdiri tidak betul. Contohnya, semasa menyusukan anak, ibu membongkokkan badan ke arah bayi.
  • Kecederaan pada otot-otot di belakang badan semasa proses bersalin boleh menyebabkan ibu mengalami rasa sakit di bahagian belakang badan.
  • Ibu yang kurang rehat semasa berpantang menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang badan lambat pulih.
  • Ibu yang melakukan kerja berat selepas bersalin biarpun bersalin normal atau pembedahan boleh menjejaskan kesihatan tulang belakang badan mereka.

Semasa hamil, tubuh wanita mengeluarkan sejenis hormon yang dipanggil hormone relaxin yang berfungsi untuk melonggarkan bahagian sendi dan ligamen pada tubuh supaya tulang pelvis mudah membuka jalan untuk bersalin. Ligamen yang longgar menyebabkan sendi tubuh sakit apabila digerakkan dan ianya berlarutan dalam masa beberapa bulan selepas kelahiran.


Bagi mereka yang mengalami masalah sakit belakang dan pinggang selepas bersalin, apa kata anda cuba merawatnya dengan mengikuti kaedah-kaedah ini:

  • Berjalan dapat membantu para ibu untuk mengurangkan rasa sakit belakang. Namun, ia perlulah dilakukan dengan berhati-hati dan perlahan kerana dikhuatiri masalah lain pula yang akan dihadapi.
  • Bersenam dapat membantu anda menguatkan otot perut dan pelvis. Akan tetapi, dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum melakukannya.
  • Pastikan posisi duduk dan berdiri anda betul.
  • Jangan duduk di atas kerusi yang keras terutama ketika anda memegang bayi anda.
  • Pengambilan kalsium yang berterusan dapat membantu mengurangkan sakit belakang dan pinggang.
  • Mandi air panas dapat membantu merehatkan otot anda.
  • Belajar teknik rehat yang betul bagi membantu anda mengatasi masalah ketidakselesaan terutama semasa tidur.

Wanita yang bersalin secara pembedahan perlu menunggu sehingga enam minggu sebelum memulakan senaman. Sebaik-baiknya, dapatkan kebenaran daripada doktor sebelum mula bersenam.


10 langkah menghalang sakit belakang selepas bersalin
Ramai ibu baru yang menyangka masalah sakit belakang mereka akan hilang sebaik sahaja melahirkan anak. Malangnya, hal yang sebaliknya berlaku, iaitu mereka masih menderita sakit belakang selepas bersalin. Menurut kajian yang dilakukan oleh Alan M. Levine, profesor klinikal pembedahan ortopedik di University of Maryland, terdapat 10 cara untuk bakal ibu menghalang masalah sakit belakang daripada berlarutan selepas hamil:

  1. Mulakan senaman sebaik sahaja selepas bersalin bagi memulihkan abdomen dan otot belakang. 10 minit senaman regangan di atas lantai pada setiap hari mampu memulihkan fleksibiliti bahagian belakang badan dan pinggul. Ibu digalakkan untuk melakukan senaman ini semasa bayi sedang tidur.
  2. Cuba dapatkan kembali susuk tubuh asal anda seperti sebelum hamil dalam tempoh enam minggu selepas kelahiran.
  3. Jangan regangkan lengan anda semasa ingin mengangkat bayi anda. Bawa bayi dekat dengan dada anda sebelum mengangkatnya. Elakkan juga daripada memusingkan tubuh anda.
  4. Jika anda ingin mengangkat bayi anda dari lantai, bengkokkan lutut anda bukannya pingang, cangkung dan dekatkan otot perut anda serta angkat menggunakan kekuatan otot kaki anda.
  5. Jika anda ingin mengangkat bayi anda keluar dari kerusi makannya atau meletakkan bayi di dalam kerusi makan, tanggalkan atau ketepikan dahulu dulang pada kerusi makan itu.
  6. Elakkan daripada mengangkat anak anda daripada buaian sebaliknya tarik bayi anda mendekati anda sebelum mendukungnya.
  7. Jika anda memakai pengendong bayi, gunakan anduh di hadapan badan anda bukan dengan cara meletakkan anduh bayi di belakang badan.
  8. Jangan mendukung bayi anda di bahagian pinggul kerana hal ini akan menyebabkan bebanan di bahagian otot belakang badan anda.
  9. Bagi mengelakkan sakit di bahagian belakang semasa menyusukan bayi, bawa bayi anda ke arah payudara berbanding badan anda membongkok ke arah bayi. Anda juga boleh menggunakan kerusi tegak semasa proses penyusuan berbanding memilih sofa lembut.
  10. Kenderaan juga memainkan peranan dalam mengelakkan sakit belakang badan. Lebih baik jika anda menggunakan kereta empat pintu berbanding kereta dua pintu. Hal ini adalah supaya anda mudah meletakkan bayi anda di dalam kerusi kereta bayi. Semasa ingin meletakkan bayi, pastikan anda memasukkan badan anda ke dalam kereta dan dengan menggunakan otot lengan, anda dudukkan bayi anda di dalam kerusi. Elakkan daripada melutut di bahagian tempat duduk belakang kemudian meletakkan bayi di atas kerusi kereta.

Kira-kira 50% wanita yang mengalami masalah sakit belakang semasa hamil tidak lagi akan mengalami sakit belakang selepas minggu pertama atau kedua bersalin.


Sumber: www.webmd.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.