Sediakan Anak Anda Untuk Prasekolah

Prasekolah menawarkan banyak manfaat kepada kanak-kanak- menjadi tempat untuk anak berinteraksi dengan rakan sebaya dan juga tempat mempelajari nilai-nilai positif seperti berkongsi, menunggu giliran dan mematuhi peraturan.

Selain itu, prasekolah juga boleh dianggap seperti persiapan mental kanak-kanak supaya mereka lebih yakin menjejakkan kaki ke tadika dan sekolah.

Bagi seorang kanak-kanak alam prasekolah menawarkan persekitaran baru, dan sudah pasti perasaan takut atau risau ada pada dirinya. Tambahan pula, apabila perlu bertemu dan bergaul dengan guru dan kanak-kanak lain yang belum dikenali. Itu belum masuk lagi hal menyaksikan kanak-kanak sebayanya menangis kerana takut ditinggalkan ibu bapa di prasekolah.

Tentunya, pengalaman itu agak mencabar bagi anak anda yang masih kecil lagi. Sebagai ibu atau bapa, anda sendiri juga mungkin akan merasai pelbagai emosi yang menggamit jiwa apabila memikirkan anak semasa di prasekolah. Perkara ini adalah biasa dan semulajadi bagi setiap ibu bapa, jadi, usahlah risau. Semakin anda selesa dan yakin dengan keputusan yang anda ambil, semakin kurang masalah yang anda dan anak anda hadapi di prasekolah baru.

BANTULAH ANAK ANDA MENGATASI KETAKUTAN
Luangkan masa bercakap dengan anak anda mengenai prasekolah itu sebelum dia mula manghadirinya. Sebaik-baiknya, sebelum hari pertamanya, bawalah anak anda melawat prasekolah tersebut supaya dia dapat melihat sendiri aktiviti yang akan mereka sertai di sana. Biarkan anak anda berkenalan dengan cikgu yang akan mengajarnya dan menerokai pembelajaran yang dijalankan di prasekolah tersebut. Tujuannya adalah supaya anak anda biasa dengan persekitaran di dalam kelas dan luar kelas.

MULAKAN SESETENGAH AKTIVITI PRASEKOLAH DI RUMAH
Anda juga boleh mendedahkan anak anda kepada aktiviti-aktiviti yang sering dilakukan di prasekolah seperti yang melibatkan seni iaitu penggunaan warna krayon, melukis, menconteng, mewarna atau aktiviti menggunakan pasir kinetik.

Dengan pendedahan awal ini, anak anda akan biasa dan juga lebih yakin untuk terlibat dengan aktiviti di dalam kelasnya kelak. Selain itu, si manja anda juga akan lebih seronok untuk menjalankan aktiviti memandangkan itu bukanlah kali pertama dia melakukannya.

HARI PERTAMA
Semasa menghantar anak anda pada hari pertama, jangan pula tunjukkan perasaan bimbang, kerana si kecil anda amat peka kepada emosi anda. Tenangkan diri dan yakin bahawa anak anda dapat menempuhi hari pertamanya di prasekolah tanpa sebarang kecurigaan.

Pada hari pertama, perkenalkan semula guru yang hadir di situ kepada anak anda. Biarkan guru mula bergaul dan bercakap-cakap dengan anak anda bagi membiasakan anak anda dengan guru tersebut sekaligus memberikan keselesaan dan keyakinan kepada anak anda sebelum anda tinggalkan dia di situ.

Jika anak anda berkeras tidak mahu ditinggalkan di kelasnya, usahlah kecewa atau marah, kerana ia akan menyusahkan lagi keadaan. Pujuknya untuk menyertai kelasnya dengan memperkenalkanya kepada rakan-rakan baru. Ucapkan ayat-ayat yang meyakinkan bahawa anda akan mengambilnya selepas habis kelas.

Peringatan: Jangan tinggalkan anak anda tanpa mengucapkan selamat tinggal. Anak anda akan rasa terabai, keliru dan juga mungkin hilang keyakinan kepada anda. Ucapkan selamat tinggal dahulu, dan yakinkan anak anda bahawa anda akan kembali sejurus tamatnya hari persekolahannya itu.

Selepas hari pertama
Biarpun anak anda berjaya menempuhi hari pertama dengan lancar, namun sebagai ibu bapa, peranan anda tidak habis setakat itu. Pupuk minat anak anda untuk terus ke sekolah dengan melakukan perkara-perkara tersebut:

BERIKAN CONTOH TERBAIK
Kanak-kanak sekolah gemar melihat, meniru dan bertanya. Oleh itu, cubalah perbaiki gaya hidup anda seperti melakukan aktiviti senaman atau bersukan, memilih makanan yang berkhasiat, membaca buku atau perkara-perkara bermanfaat lain. Lazimnya, anak anak mengikut apa yang ibu bapanya lakukan. Jika bapa suka membaca, umpamanya, kemungkinan besar anak mereka pun akan turut serta dalam tabiat ini.

HADKAN MASA MENONTON TV
Kebiasaannya, ibu bapa akan meluangkan masa senggang mereka dengan menonton televisyen seisi keluarga. Cubalah hadkan masa untuk menonton televisyen atau menggunakan komputer di rumah. Peruntukkan antara 1 hingga 2 jam sehari sahaja untuk aktiviti seperti itu supaya anak anda tidak turut menghabiskan masa di depan skrin.

ADAKAN AKTIVITI MENYERONOKKAN
Cari aktiviti-aktiviti baru yang menyeronokkan untuk dilakukan oleh anda sekeluarga. Jika aktiviti yang dilakukan berbentuk pendidikan, tambahkan elemen-elemen yang akan membuatkan anak anda terhibur dan tidak merasakan diri mereka sedang belajar.

TANYA MENGENAI PENGALAMAN HARINYA
Kanak-kanak biasanya teruja untuk memberitahu ibu atau bapa mereka tentang peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku di prasekolah mereka. Sedihnya, ramai ibu bapa tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk mendengar cerita-cerita anak mereka. Sebaiknya, sebagai ibu bapa, anda perlu menggunakan peluang seperti ini untuk mengajar anak anda mengenai cara bertutur dengan rakan, berkongsi, bersopan atau apa pengajaran yang berkenaan dengan pengalaman yang diceritakan oleh mereka.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.