Selamat Tinggal Masalah Kurang Zat Besi

Setiap orang memerlukan zat besi dalam tubuh mereka. Mineral ini adalah penting untuk menghasilkan hemoglobin, iaitu protein penting dalam sel darah merah yang membawa oksigen kepada organ dan tisu tubuh kita. Keperluan ini bertambah semasa anda hamil, di mana zat besi ekstra diperlukan untuk meningkatkan isipadu darah yang diperlukan untuk bakal ibu dan bayi dalam kandungan.

Ramai wanita hamil menghadapi masalah kurang zat besi dalam tubuh mereka. Jadi, anda jangan tergolong dalam kalangan salah seorang daripada mereka!

Semasa hamil, badan anda menghasilkan lebih banyak darah untuk ibu dan bayi dalam kandungan, justeru tubuh anda juga memerlukan zat besi tambahan untuk memenuhi keperluan ini. Jika keperluan ini tidak dapat dicapai, zat besi akan tersimpan dalam badan. Malah, sekiranya hal ini berterusan, simpanan zat besi yang ada dalam badan akan mula berkurangan menjadikan anda menghidap anemia, iaitu masalah yang kerap melanda ramai wanita hamil.

Menurut pakar, anemia kekurangan zat besi yang dialami semasa dua trimester pertama sering dikaitkan dengan risiko kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan. Ya, penyakit ini kedengaran serius, bukan? Namun, ianya amat mudah untuk dirawat. Malah, lebih mudah lagi untuk dicegah! Makan makanan yang betul dan mengambil suplemen zat besi seperti yang diarahkan oleh doktor boleh memastikan anda terhindar daripada masalah kekurangan zat besi sekali gus membantu anda mendapatkan kehamilan yang sihat.

Berikut merupakan keadaan yang biasanya anda akan alami semasa hamil; semasa pemeriksaan pranatal, doktor akan memeriksa kemungkinan anda mengalami anemia. Jika kiraan darah anda rendah, doktor akan menyarankan anda untuk mengambil pil zat besi sebagai tambahan kepada vitamin pranatal bagi memastikan tubuh anda mendapat zat besi secukupnya semasa kehamilan.


Berapa banyak zat besi yang diperlukan oleh tubuh?
Sebaik sahaja seseorang wanita itu hamil, keperluan zat besi tubuh akan meningkat kira-kira 50 peratus, iaitu daripada 18 miligram ke 27 miligram zat besi sehari. Keperluan suplemen zat besi mungkin akan berterusan sehingga selepas anda melahirkan anak.


Awasi Tanda-Tanda Tubuh Anda Kurang Zat Besi
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan tahap hemoglobin dalam darah anda mula menurun, seterusnya menyebabkan anemia. Anda mungkin belum dapat merasai kesannya, namun jika ia dibiarkan berterusan, anda akan mengalami kesan-kesan berikut:

• Keletihan dan kelesuan melampau (tidak kira berapa lama anda berehat dan tidur) – Hal ini kerana tubuh anda menginginkan lebih zat besi untuk memenuhi keperluan hemoglobin yang mencukupi, iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Kekurangan zat besi membawa kepada kekurangan sel darah merah yang sihat, yang mengakibatkan anda rasa cepat letih dan tidak bermaya.

• Sesak nafas
Jika badan anda tidak dapat membawa oksigen ke paru-paru dengan baik, anda akan mula rasa kurang nafas biarpun hanya melakukan kerja ringan, dan anda akan dapati daya ketahanan tubuh anda lebih rendah.

• Pucat
Cermin tidak akan menipu! Jika anda lihat muka anda di cermin seperti tidak bermaya, ini mungkin disebabkan kekurangan zat besi dalam badan anda. Juga, periksa bibir, gusi dan dalam mata anda. Adakah kelihatan pucat juga? Jika ya, ambil tindakan selanjutnya, Mama!

• Sering jatuh sakit
Terdapat banyak punca yang menyebabkan anda jatuh sakit, mungkin juga disebabkan oleh kekurangan zat besi. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan zat besi boleh memberi kesan kepada sistem imun anda, menjadikan wanita hamil mudah mendapat jangkitan dan virus.

• Jantung berdegup kencang
Ini bukan seperti perasaan semasa mula-mula anda jatuh cinta. Akan tetapi, jika anda mengalami masalah kurang zat besi, kemungkinan degupan jantung anda akan berdegup laju dan tidak normal.

• Mengidam yang bukan-bukan
Pernahkah anda dengar wanita hamil mengidam makan pasir atau sabun? Masalah ini dinamakan pica. Mengidam benda selain makanan atau pica berlaku apabila badan anda mengandungi rendah zat besi. Bercakap dengan doktor anda jika tiba-tiba anda teringin hendak makan tanah liat, cat, minyak tanah atau apa sahaja benda mengarut.

Perlukah Suplemen?
Wanita hamil disarankan untuk mengambil 27 miligram zat besi sehari sebagai dos harian. Walau bagaimanapun, jika masalah mabuk kehamilan berlaku, dan ia dipercayai berpunca daripada suplemen ini, maka berbincanglah dengan doktor anda untuk mencari penyelesaian. Lazimnya, dalam kes-kes seperti ini, doktor akan mengurangkan dos pengambilan anda atau menyarankan supaya suplemen ini diambil dalam dos yang dibahagikan ataupun bersama makanan. Zat besi lebih mudah menyerap semasa perut kosong. Jadi, ambillah zat besi sebelum anda makan sarapan pagi atau sebelum anda tidur.


Zat besi dalam vitamin pranatal tidak cukup?
Penyerapan zat besi oleh tubuh mudah terhalang jika anda mengambilnya bersama dengan kalsium. Jadi, elakkan daripada mengambil kalsium pada masa yang sama anda ambil suplemen zat besi. Oleh sebab vitamin pranatal mengandungi kalsium, anda tidak boleh bergantung kepada vitamin ini kerana ia tidak banyak membantu (jika anda mengalami masalah kurang zat besi).


Bantu Tubuh Anda Serap Lebih Banyak Zat Besi
Vitamin C dapat membantu penyerapan zat besi dalam badan. Anda boleh ambil suplemen zat besi anda dengan segelas jus oren atau sebarang minuman yang kaya dengan vitamin C. Jika anda ambil suplemen zat besi anda pada waktu pagi, ambil kalsium atau vitamin pranatal yang mengandungi kalsium sebelum tidur. Walau bagaimanapun, jika pengambilan zat besi membuatkan perut anda tidak selesa, tukar rutin pemakanan suplemen dan ambil zat besi sebelum anda masuk tidur.


Zat besi & sembelit
Masalah sembelit semasa hamil mungkin akan lebih ketara dengan penambahan dos suplemen zat besi. Justeru, bagi mengelakkan masalah ini, tingkatkan pengambilan serat anda dengan makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Juga, jangan lupa untuk minum banyak air bagi mengelakkan sembelit.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.