Snek Untuk Kanak-kanak: Pilihan Yang Baik Membawa Manfaat

Menawarkan snek kepada anak kecil mungkin dilihat sebagai tindakan yang tidak beberapa bagus oleh sesetengah ibu bapa. Tidak dinafikan bahawa makanan snek yang tak betul, dan pada masa yang tidak sesuai mungkin akan menyebabkan kanak-kanak hilang selera untuk hidangan utama seperti makan tengah hari atau makan malam. Tapi, takkanlah nak biar si-kecil lapar jika dia minta sesuatu untuk dikunyah beberapa jam sebelum hidangan utama? Mari kita kaji bersama.

Dilema memberi snek kepada si-kecil
Seperti sesetengah orang dewasa, kanak-kanak juga mungkin akan terasa lapar sebelum tiba waktu makan tengah hari atau makan malam. Sebab utama dalam kes kanak-kanak adalah keperluan tenaga yang lebih semasa bermain, belajar, dan sebagainya. Jenis makanan yang diingini ataupun citarasa mereka adalah cerita yang lain sama sekali, di mana kebanyakan kanak-kanak memang gemarkan makanan yang manis sebagai snek. Hal inilah yang sebenarnya menjadi masalah utama tentang pemberian snek kepada kanak-kanak. Jika kanak-kanak sudah biasa dengan snek yang manis, lama-kelamaan, ia mungkin akan mengurangkan selera mereka untuk makanan utama yang berkhasiat seperti sayur-sayuran, daging, nasi dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak juga mudah sekali tertagih kepada makanan manis.

Jadi, patutkah kanak-kanak diberi makan snek atau tidak? Terpulanglah kepada ibu bapa namun kami sarankan supaya beri, tetapi usah berikan sebarangan makanan snek, dan cubalah prihatin tentang masa untuk memberi anak makan snek tersebut.


Pandangan yang sihat terhadap snek kanak-kanak adalah:

  • Pilihan snek yang ringan tetapi berkhasiat
  • Menawarkan snek pada masa yang sesuai

Snek jenis apa yang patut diberi?
Sudah tentunya yang bernutrisi dan berkhasiat untuk tubuh badan yang sedang membesar. Atau, lagi satu cara untuk mendefinasikan pilihan snek yang sesuai ialah, snek tersebut tidak harus mengandungi bahan bahan yang akan memudaratkan kesihatan kanak-kanak yang memakannya. Hal ini sebenarnya suatu yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa kerana kebanyakan snek yang sedia ada di pasar raya untuk kanak-kanak mengandungi gula, gram dan perasa tiruan yang berlebihan untuk menyedapkan rasanya supaya kanak-kanak gemarkannya.

Pillihan snek yang lebih elok ialah seperti berikut:

  • Buah-buahan
  • Sayur dicicah dengan mayonis
  • Kismis
  • Telur rebus
  • Sandwic mentega kacang
  • Biskut bergula rendah
  • Keju
  • Smoothie buah

Snek perlu diberi pada masa yang sesuai, iaitu tidak terlalu dekat dengan waktu makan tengah hari ataupun waktu makan malam. Waktu yang paling sesuai ialah kira-kira tiga jam sebelum hidangan utama. Jika snek diberi pada masa malam, pastikan ia suatu yang ringan seperti buah atau sekeping keju, supaya si-kecil tidak terlalu kenyang semasa hendak masuk tidur.


Manis namun berbahaya!
Makanan bergula merupakan suatu ketagihan zaman kanak-kanak yang utama di seluruh dunia dan juga punca utama pelbagai penyakit kronik zaman kanak-kanak seperti obesiti dan kencing manis.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.