Sebagai wanita, adakalanya anda malu untuk bertanya secara langsung kepada pakar Perbidanan dan Sakit Puan berkenaan soalan-soalan ‘dalam kain’ yang dianggap sensitif bagi sesetengah orang. Untuk memudahkan pemahaman anda, berikut ialah beberapa soal jawab sensitif bagi merungkai kemusykilan yang bermain dalam fikiran anda.
Benarkah vagina menjadi longgar selepas bersalin?
Otot vagina mampu mengecut dan mengembang semula kepada saiz normal selepas kelahiran. Namun, anda harus menerima hakikat bahawa apa yang keluar daripada serviks menerusi vagina bukanlah sesuatu bersaiz telur ayam. Diameter regangan yang membuka sehingga 10 sentimeter sudah tentu akan menyebabkan bahagian tersebut menjadi agak ‘longgar’. Kadang kala, terasa seperti pergerakan angin keluar masuk. Masalah ini boleh diatasi menerusi senaman Kegel. Senaman Kegel secara teratur membantu anda kembali berasa normal dari masa ke masa.
Adakah berat badan saya berlebihan?
Persoalan ini boleh dijawab oleh doktor kehamilan anda. Doktor boleh menentukan anggaran kenaikan berat badan paling sesuai mengikut keadaan kehamilan dan fizikal anda. Secara keseluruhan, kenaikan berat badan yang normal semasa tiga bulan pertama adalah antara 1.0 kilogram sehingga 1.5 kilogram. Seterusnya, kenaikan berat badan seharusnya tidak melebihi 0.5 kilogram setiap minggu. Nilai kenaikan keseluruhan berat badan sepanjang kehamilan berbeza bagi wanita yang memiliki berat badan normal, obesiti atau kekurangan berat badan.
Saya mengalami keputihan ketika hamil. Adakah ia satu penyakit?
Masalah keputihan adalah satu perkara normal. Malah, keputihan ini akan semakin jelas dilihat dengan hampirnya waktu bersalin. Hal ini disebabkan perubahan hormon dalaman yang sedang berlaku sehingga menghasilkan keputihan. Petanda ini sebenarnya baik bagi mencegah sebarang jangkitan yang tidak diingini. Keputihan ini mungkin akan menimbulkan bau dan perasaan tidak selesa kepada anda. Cara mengatasinya ialah dengan pemakaian pelapik seluar dalam atau panty liner.
Mengapa saya kerap mengalami masalah angin, kembung perut dan sembelit semasa hamil?
Wanita hamil kerap mengadu menghadapi masalah kentut dan sendawa berlebihan ketika hamil. Ini berlaku disebabkan peningkatan paras hormon progesteron dalam badan. Kesan hormon ini bertujuan untuk pengembangan otot dan tisu di seluruh badan. Hasilnya, anda akan merasai lebih banyak angin, kembung dan ketidakselesaan dalam sistem penghadaman. Berjumpalah doktor jika masalah ini mengganggu keselesaan harian anda.
Adakah bersalin akan menyebabkan kesukaran menahan kencing?
Semasa mengandung, wanita akan menghadapi masalah kesukaran menahan kencing. Bukan semua wanita mengalami masalah ini sebelum bersalin. Kebanyakan kes kesukaran menahan kencing di kalangan ibu hamil berlaku selepas bersalin. Namun, anda janganlah terlalu risau kerana masalah ini tidak akan berlarutan selamanya. Ia mampu dipulihkan semula dalam tempoh enam minggu sehingga tiga bulan selepas anda bersalin. Tingkatkan rutin senaman Kegel bagi menguatkan semula keadaan sistem peranakan anda.
Perhubungan intim selepas bersalin menimbulkan rasa sakit. Adakah ini normal?
Anda disarankan untuk mengelakkan perhubungan intim dalam tempoh dua sehingga enam minggu selepas bersalin. Ia bertujuan untuk memberi peluang luka jahitan episiotomi sembuh dan kering dengan sepenuhnya. Ia juga bagi mengelakkan sebarang jangkitan dan pendarahan di bahagian vagina. Ramai ibu yang merasa tidak selesa dan sakit semasa mengadakan hubungan intim selepas bersalin. Jika ini berlaku, cuba gunakan gel atau krim pelincir. Masalah ini mungkin berlaku disebabkan kekeringan vagina sehingga menyebabkan vagina terasa pedih semasa perhubungan intim dilakukan.
Bagaimana jika saya terbuang air besar semasa meneran di bilik bersalin?
Wanita tidak mungkin boleh bersalin tanpa meneran. Proses mengeluarkan bayi mengambil masa antara 30 minit sehingga 1 jam. Apabila kepala bayi mula keluar dari vagina, ia turut akan mengeluarkan bersama najis dan urin yang tidak dibuang sebelum memasuki dewan bersalin. Namun, anda tidak seharusnya merasa malu kerana ia adalah suatu perkara yang sukar dikawal terutama ketika anda sedang cemas menghadapi kesakitan bersalin. Para petugas dari kalangan doktor dan jururawat sudah terbiasa dengan situasi seumpama ini. Yakinlah bahawa petugas-petugas perubatan di dewan bersalin terdiri daripada pekerja profesional terlatih untuk berhadapan dengan sebarang situasi!