Semasa ovulasi, hormon dalam tubuh seorang wanita akan berubah dan menyebabkan pelbagai simptom fizikal berlaku pada tubuh. Dengan memerhatikan perubahan pada tubuh, anda akan dapat mengetahui bila waktu ovulasi atau waktu subur anda. Hal ini penting supaya anda dapat tingkatkan peluang untuk hamil.
1. Perubahan lendir serviks
Tubuh wanita bersedia untuk ovulasi dengan menghasilkan lendir atau mukus serviks. Lendir serviks anda akan kelihatan seperti putih telur yang mentah, licin dan anjal. Lendir ini berfungsi dalam membantu mempercepatkan perjalanan sperma untuk sampai ke uterus. Selain itu, lendir inilah yang akan membekalkan zat dan melindungi sperma apabila bergerak menuju ke tiub falopio untuk bersenyawa dengan ovum. Inilah masa yang terbaik untuk anda tingkatkan peluang kehamilan.
2. Payudara rasa sengal
Semasa ovulasi, hormon progesterone anda akan meningkat. Jika anda mencatat jadual kesuburan, anda akan lihat suhu badan anda meningkat selepas ovulasi. Peningkatan progesterone ini menyebabkan perasaan sengal pada payudara semasa ovulasi. Sesetengah wanita akan merasakan kesakitan pada payudaranya sama seperti kesakitan yang dirasai sebelum hari haid.
3. Perubahan pada posisi serviks
Perubahan posisi serviks anda juga petanda sama ada anda sedang subur. Selepas haid, serviks anda akan rasa keras dan tertutup. Pada waktu subur pula, serviks akan menjadi lembut dan terbuka, sehingga dapat dijangkau dengan jari. Anda boleh menggunakan jari anda yang bersih bagi memeriksa sendiri. Masukkan jari hantu ke dalam faraj -jika anda dapat menjangkau pangkal serviks dan permukaan dalam faraj terasa lembut, ia menunjukkan anda berada pada hari subur.
4. Keinginan seks meningkat
Kajian menunjukkan wanita berkeinginan untuk melakukan hubungan intim semasa ovulasi. Malah, lazimnya mereka akan mula rasa demikian beberapa hari sebelum waktu subur. Ketika ini, mereka akan rasakan diri mereka lebih seksi dan berminat untuk memikat suami. Hal ini kerana hormon badan mereka sedang meningkat semasa menghampiri waktu subur.
5. Senak atau sakit pada abdomen
Kira-kira 20 peratus wanita mendapati bahagian abdomen mereka akan senak semasa ovulasi. Hal ini berlaku kerana telur yang pecah melalui folikel semasa ovulasi. Rasa senak juga boleh berlaku semasa tiub falopio mengembang dan menguncup menolak telur masuk ke rahim. Jika anda rasa senak perut, mungkin ini petanda anda sedang menghampiri waktu subur.
6. Perubahan suhu badan
Sesetengah wanita dapat mengenal pasti hari ovulasi mereka dengan mencatat perubahan suhu badan sebaik sahaja selepas waktu haid. Susu dasar Basal Body Temperature (BBT) diambil menggunakan termometer khas. Caranya, ambil bacaan suhu badan anda semasa bangun tidur setiap pagi. Suhu badan anda akan meningkat dan kekal tinggi sehingga sepanjang tempoh ovulasi.
7. Kit ujian kesuburan
Jika anda masih rasa keliru untuk mengetahui hari subur anda, cara paling tepat untuk anda ketahui adalah dengan menggunakan kit ujian kesuburan. Anda akan dapat mengesan lonjakan hormon atau Luteinising Hormone (LH) pada air kencing anda melalui kit ujian kesuburan. Kit-kit ujian ini banyak dijual di farmasi.