EDD ada lagi dua minggu tapi kenapa perut ni sakit macam nak bersalin? Ini senario biasa yang dialami oleh ibu hamil. Disebabkan itulah, penting untuk setiap bakal ibu mengetahui tanda-tanda hendak bersalin. Awas! Jangan tertipu dengan tanda bersalin palsu!
Sebelum munculnya tanda-tanda bersalin yang sebenar, anda mungkin merasai tanda bersalin palsu atau dikenali sebagai kontraksi Braxton Hicks. Ada wanita hamil yang panik apabila mengalami tanda awal kerana masih jauh dengan tarikh jangkaan bersalin. Justeru, adalah penting untuk setiap wanita hamil bersedia dan mengetahui perbezaan antara tanda palsu dan sebenar.
Kontraksi Braxton Hicks
Sesetengah orang mengalami sakit pada otot uterus semasa pertengahan kehamilan. Ada juga yang mengalami rasa sakit seperti senggugut. Ini adalah tanda-tanda Braxton Hicks. Kontraksi ini mungkin tidak menyelesakan, tetapi ia tidak akan menyebabkan bersalin atau pintu rahim anda terbuka.
Antara kontraksi Braxton Hicks ialah:
- Lazimnya tidak menyakitkan
- Tidak berlaku secara kerap
- Berlaku pada waktu tertentu satu atau dua kali dalam satu jam
- Rasa sakit tidak meningkat jika anda berjalan
- Rasa sakit tidak lama
Kontraksi Braxton Hicks dialami untuk mempersiapkan badan merasai tanda sebenar waktu hampir bersalin. Akan tetapi, anda perlu ingat ia bukanlah bermakna waktu bersalin anda hampir tiba atau akan bermula kerana ada sesetengah wanita yang mengalami kontraksi Braxton Hicks jauh daripada tarikh sepatutnya dijangka bersalin.
Kontraksi sebenar
Jika anda mengalami tanda-tanda seperti di bawah, segera ke hospital atau menelefon doktor anda.
- Kontraksi setiap 10 minit atau lebih daripada lima kali kontraksi dalam satu jam
- Tekanan pada pelvis atau vagina semakin meningkat
- Pendarahan pada vagina
- Air ketuban pecah
- Simptom seperti loya, muntah atau cirit-birit
5 tanda-tanda waktu bersalin anda hampir tiba
Tanda-tanda di bawah mungkin akan anda alami dalam tempoh seminggu hingga empat minggu sebelum anda bersalin.
1. Bayi anda hampir keluar – Beberapa minggu sebelum anda bersalin, kepala bayi anda akan menghampiri kawasan pelvis anda sebagai tanda dia bersedia untuk keluar. Ketika ini anda akan mengalami simptom kerap membuang air kecil, sama seperti semasa anda berada pada trimester pertama.
2. Serviks terbuka – Serviks anda juga akan bersedia untuk kelahiran, ia mula terbuka beberapa hari atau beberapa minggu sebelum bersalin.
3. Kejang dan sakit belakang – Anda akan mula merasai kekejangan pada perut dan sakit belakang sewaktu hampir bersalin. Otot dan sendi anda meregang dan bergerak sebagai persediaan menghadapi kelahiran.
4. Sendi rasa longgar – Sepanjang kehamilan, hormon relaksin membuatkan ligamen otot anda lebih lembut dan longgar. Sebelum tiba waktu bersalin, anda dapat merasakan sendi-sendi anda semakin longgar.
5. Cirit-birit – Oleh sebab otot pada rahim anda sedang dalam persediaan untuk bersalin, otot-otot pada tubuh lain juga sama. Hal ini menyebabkan pergerakan usus anda longgar. Anda akan mengalami cirit-birit sewaktu hampir bersalin. Jadi, sentiasa pastikan anda terhidrat dan ingatlah, ini merupakan petanda yang baik!
Rujukan: www.webmd.com