Teknik Urutan Bayi Selamat & Berkesan

Magis sentuhan terhadap bayi tidak dapat disangkal lagi. Sentuhan umpama terapi yang mampu menyalurkan kasih sayang ibu bapa terhadap zuriat mereka. Apatah lagi kuasa sentuhan juga diyakini dapat membantu dalam perkembangan dan tumbesaran bayi. Justeru itu, siapkanlah meja mengurut atau bentangkan tikar bayi di atas tilam bersama semangkuk kecil minyak bayi berasaskan mineral atau sayuran.

1. Pastikan emosi anda dan bayi dalam keadaan baik sebelum memulakan sesi mengurut. Hentikan urutan jika bayi anda tidak selesa atau jika anda dalam keadaan tertekan.
2. Pastikan bayi anda selesa. Lakukan urutan di bilik yang sesuai dengan pencahayaan yang malap. Pastikan suhu bilik tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.
3. Pilih masa yang sesuai untuk mengurut bayi anda. Masa terbaik mengurut adalah sebelum bayi
tidur, selepas bangun tidur dan selepas mandi.
4. Sebaik-baiknya, urutan dilakukan dalam keadaan bayi anda bertelanjang atau dipakaikan lampin sahaja.


Tips
Anda boleh pasang alunan muzik yang mendamaikan semasa sesi urutan berlangsung.


5. Bagi urutan kali pertama, mulakan tempoh urutan selama lima minit sahaja untuk menyesuaikan bayi dengan teknik urutan. Kemudian, barulah boleh dilanjutkan tempoh dari 10 minit sehingga 30 minit.


Tips
Anda boleh mula mengurut bayi selepas usianya mencecah dua bulan. Sesi urutan boleh dilakukan sekali sehari.


6. Gosokkan tangan anda dengan beberapa titis minyak bayi atau pelembap sebelum melakukan urutan pada tubuh bayi. Elakkan daripada menggunakan minyak kacang, badam atau minyak yang diproses daripada makanan bagi mengelakkan kulit bayi alergik.
7. Lakukan urutan dengan lembut. Jangan urut bayi anda seperti anda mengurut orang dewasa.


Tahukah Anda?
Ada bayi yang mungkin sensitif dengan sesetengah minyak. Lihatlah pada tanda-tanda reaksi alergik pada kulit bayi anda.


8. Elakkan daripada mengurut bayi dengan minyak pada jari-jarinya kerana dia mungkin akan mengulum jarinya selepas itu. Jangan pula mengurut bayi pada kawasan kemaluannya.
9. Bagi mengurut muka bayi, gunakan hanya hujung jari untuk melakukan urutan lembut pada wajah mereka.
10. Selesai mengurut, pakaikan bayi anda lampin (jika dia bertelanjang) dan dakaplah bayi anda bagi memberikan sentuhan kasih sayang terhadapnya.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.