Tips Memilih Kereta Untuk Keluarga

Memilih kereta untuk keluarga adalah satu keputusan yang besar. Keputusan yag dibuat memerlukan penelitian umpama mencari pasangan hidup. Hal ini kerana, terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan pilihan anda adalah tepat. Artikel ini dapat membantu anda untuk membuat pilihan bagi mencari kereta untuk keluarga.

1. Ikut keperluan anda- Sebelum anda memilih kereta yang anda kehendaki, kenal pasti dahulu kriteria yang anda mahukan dalam kereta baru anda nanti. Berapa ramai anak anda, dan adakah anda merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga? Anda perlu mempertimbangkan untuk membeli kereta yang mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk anak-anak anda. Jika anda mempunyai anak melebihi 3 orang, anda perlu fikirkan untuk memilih kereta yang lebih besar seperti MPV. Fikirkan juga adakah kereta tersebut muat untuk anda letakkan barang-barang bayi seperti kerusi kereta dan kereta sorong.

2. Tetapkan bajet- Ketahui harga-harga kereta yang ingin anda beli. Tetapkan bajet yang realistik untuk memiliki kereta baru keluarga anda. Jangan lupa untuk pertimbangkan berapa bayaran bulanan kereta tersebut, adakah masih dalam lingkungan bajet anda.

3. Utamakan keselamatan- Keselamatan keluarga adalah yang paling utama. Pastikan tali pinggang keselamatan mencukupi untuk anda sekeluarga. Beg udara juga dapat membantu menyelamatkan nyawa anda dan keluarga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

4. Ruang dan keselesaan- Kereta untuk keluarga yang terbaik dapat menyediakan ruang yang selesa untuk setiap anggota keluarga anda. Jika anda ada bayi atau anak kecil, pastikan ruang simpanan untuk kereta sorong, kerusi kereta dan kelengkapannya yang lain seperti beg lampin adalah muat diletakkan dalam kereta anda.

5. Luas- Carilah kereta yang mempunyai ruang simpanan yang luas bagi menyimpan barang-barang anak anda seperti mainannya dan mungkin juga anak patung kesayangannya. Ini mungkin nampak remeh, namun pilihlah kereta yang luas terutama di bahagian kerusi belakang bagi keselesaan anak anda meletakkan kaki mereka.

Ketika ingin membeli kereta, anda disarankan untuk membawa semua ahli keluarga anda untuk duduk di dalam kereta tersebut bagi merasai sendiri keselesaan di dalam kereta itu. Namun, ia bukan bermakna anda perlu mengikut keputusan mereka, sebaliknya tidak salah jika anda turut mengambil kira pendapat mereka sebelum memilih kereta yang tepat untuk keluarga anda.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.