Rutin tukar lampin si kecil setiap hari adalah sebahagian dari aktiviti ibu bapa. Tetapi akan tiba suatu masa nanti mereka tidak perlukan lagi lampin dan bersedia untuk menggunakan tandas.
Kaedah potty train atau latihan tandas membantu anak anda untuk menggunakan tandas sendiri seiring dengan perkembangan kanak-kanak yang lainnya.
Proses potty train ini biasanya memerlukan anda sebagai orang terdekat dan paling dipercayai untuk mengajar mereka tentang penggunaan tandas yang betul dan kebersihan diri secara asasnya.
Permulaan proses ini pastinya memberikan ketakutan dan kegelisahan bagi sesetengah kanak-kanak, namun dengan tips yang dikongsikan ini ianya pasti boleh membantu anda.
1. Pastikan anak sudah bersedia
Hanya memulakan latihan tandas apabila anak anda menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka sudah bersedia untuk itu.
Sesetengah kanak-kanak mungkin akan menunjukkan tanda mula berminat untuk tiru orang dewasa menggunakan tandas, meluahkan rasa tidak selesa ketika lampinnya kotor atau basah, lampin kekal kering untuk tempoh yang lama, pandai memberi isyarat untuk membuang air besar melalui kata-kata, mimik muka atau bahasa badan, dan sebagainya.
Walaupun begitu, tidak semua kanak-kanak menunjukkan tanda yang serupa. Bahkan kadang-kadang mereka juga mungkin menunjukkan kesediaan yang awal atau lewat berbeza antara satu sama lain.
Biasanya ramai kanak-kanak menunjukkan tanda yang mereka sudah siap sedia untuk potty training di antara usia 18 ke 24 bulan.
Justeru itu, anda perlu lebih peka akan isyarat dan respon yang diberikan anak-anak agar proses potty train ini berjalan dengan lancar dan berjaya.
2. Libatkan anak ketika pilih kerusi tandas
Bila sebut pasal potty train, sudah semestinya kerusi tandas atau kerusi potty sangat penting untuk anda di rumah.
Anda perlu perhatikan lebih teliti dari aspek rekabentuk, keselamatan dan kemudahan. Pastikan kerusi mempunyai pemegang di sisi tandas atau tangga yang mudah digunakan bagi mengelakkan anak dari jatuh.
Rekaannya juga perlu fleksibal agar mudah dibersihkan dan disimpan apabila tidak lagi digunakan. Dari segi rekabentuk, anda boleh cuba libatkan anak untuk memilih corak, warna, atau gambar kartun yang mereka sukai.
Ini penting untuk membuatkan mereka lebih tertarik secara peribadi untuk menggunakannya.
3. Beli seluar dalam untuk anak
Beli seluar dalam yang boleh menarik minat anak anda, seperti yang mempunyai watak animasi kegemaran atau warna-warna yang disukai mereka.
Terangkan kepada anak, jika mereka ingin belajar menggunakan tandas mereka perlu mula dengan memakai seluar dalam kanak-kanak.
4. Letakkan tandas di tempat yang sesuai
Bilik air adalah lokasi yang paling tepat untuk meletakkan kerusi potty kerana ia secara tidak langsung memberi ingatan kepada mereka bahawa membuang air perlu ke tandas.
5. Potty train sebelum tidur dan selepas bangun
Antara idea yang sangat baik dan berkesan untuk melatih anak adalah dengan membawa mereka ke tandas sebelum hendak tidur dan sebaik sahaja mereka bangun pada waktu pagi.
Selain itu, kerapkan juga bertanya kepada anak sama anak mahu ke tandas atau tidak sekiranya agak lama mereka tidak ke tandas.
Komunikasi dengan bahasa yang mudah dan arahan yang jelas adalah penting bagi memastikan mereka faham serta memberi kerjasama yang baik sepanjang proses ini.
6. Ajarkan anak tabiat kebersihan yang betul
Ajarkan si kecil anda tentang mencuci tangan dan kebersihan sebagai amalan yang baik dari permulaan latihan tandas. Jika mereka tidak suka mencuci tangan, anda boleh cuba menjadikanya lebih menyeronokkan dengan menyanyikan lagu dan membiarkan mereka bermain dengan sabun.
Adalah lebih baik untuk menerangakn kepada mereka mengapa penting untuk mencuci tangan selepas ke tanas untuk mengelakkan dari virus dan bakteria.
7. Gunakan carta latihan tandas
Carta adalah cara terbaik untuk menjejaki kemajuan anak anda dan memastikan mereka bermotivasi untuk meneruskan latihan.
Buat carta dengan nama anak anda padanya dan tambah pelekat atau bintang setiap kali mereka menggunakan tandas. Tetapkan matlamat untuk anak anda, seperti mengisi carta dengan pelekat dan memberi ganjaran kepada mereka apabila mencapainya.
8. Tunjuk ajar dan terangkan
Ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak. Justeru untuk memastikan proses latihan ini berjalan lancar, anda perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh di depan mata mereka.
Bawa anak anda bersama setiap kali anda ingin ke tandas dan tunjukkan kepada mereka cara membuang air kecil dan besar yang betul. Si ayah ajar anak-anak lelaki manakala si ibu ambil tugas itu untuk ajar anak-anak perempuan.
Pilih perkataan yang positif yang akan digunakan anda untuk menerangkan tentang bahagian badan, air kencing, dan pergerakan usus. Elakkan dari menggunakan perkataan yang negatif seperti kotor, nakal atau busuk.
9. Puji dan beri dorongan pada anak
Ibu bapa harus selalu memuji dan memberi dorongan kepada anak. Pujian membuatkan anak akan lebih termotivasi.
Gunakan ayat memuji yang betul seperti, “Pandainya anak ibu ni!” atau “Bagusnya, abang”.
Tanamkan pada mindset anak, jika mereka berusaha mereka akan berjaya dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan!
10. Bersabar dan konsisten
Potty train boleh menjadi proses yang mengecewakan kerana mengambil masa yang agak lama, tetapi penting untuk anda kekal sabar dan terus konsisten. Si kecil akan mengalami kemalangan kecil dan ada hari-harinya mereka sukar untuk mendengar arahan.
Sangat penting untuk kekal positif dan menggalakkan mereka untuk terus mencuba. Berpegang pada rutin latihan tandas anda dan elak dari beralih kembali menggunakan lampin kerana ini boleh menyebabkan anak keliru.
Setiap anak mempunyai proses yang berbeza-beza dan kita sebagai ibu bapa tidak boleh membuat perbandingan perkembangan anak sendiri dengan kanak-kanak lain. Potty train mempunyai cabarannya yang tersendiri kepada kanak-kanak.
Namun ia adalah proses yang sangat bermanfaat kerana boleh merangsang kemahiran anak untuk berfikir, merasa dan bertindak sebelum memberitahu ibu bapa tentang keinginan mereka. Bersabar dan konsisten adalah kunci kejayaannya!