Tips Tangani Tantrum Anak Di Rumah Orang

Aduhai, malunya bila anak buat perangai di rumah orang. Mengamuk, menangis, menjerit, meraung, menendang, semua cukup! Sampai tak selesa semua tetamu di rumah tersebut. Mulalah ada yang menjeling dan mengata kita tak pandai jaga anak. Walhalnya memang lumrah kanak-kanak untuk tantrum bila-bila masa saja tanpa kita jangka.

Sebenarnya, tidak perlu kita terasa malu apabila anak tantrum. Dan paling penting, jangan benarkan amarah memakan diri walaupun memang bila-bila masa saja kita sendiri boleh mengamuk untuk mendiamkan anak kita itu.

Stres itu perkara biasa kerana kita mungkin dalam fasa terkejut bila anak tiba-tiba mengamuk disaksikan oleh tuan rumah dan tetamu lain. Namun, kenapa kami kata anda tidak perlu malu adalah kerana orang lain juga punyai anak dan mereka sendiri pernah hadapi situasi ini. Jadi, jangan risau!
Namun, tantrum anak yang berpanjangan di rumah orang boleh membangkitkan rasa tidak selesa dan dianggap sebagai sesuatu yang tidak sopan, jadi penting untuk kita mengambil langkah bijak untuk menenangkan anak kita.

Kebanyakan ibubapa memilih jalan mudah untuk mensenyapkan anak iaitu dengan :

  • Marah
  • Cubit atau pukul
  • Beri gula-gula atau aiskrim
  • Beri handphone
  • Namun langkah di atas memberi kesan yang buruk kepada anak-anak kita.

JANGAN MARAH ANAK DI DEPAN ORANG.
Bawa anak ke ruang atau bilik lain, cuba fahami punca anak berperangai demikian, tenangkannya and tegurlah dengan kasih sayang. Marah, cubit dan pukul anak dengan tujuan untuk mengajar dan senyapkan anak boleh memburukkan lagi keadaan. Jangan terkejut sekiranya mereka menangis atau menjerit lebih kuat. Mereka sepatutnya bertenang, bukan senyap secara paksa dan dalam keadaan takut. Tambahan kalau dilakukan di depan tetamu. Self-esteem mereka akan tercalar dan mereka akan membesar dengan nilai diri yang rendah. Fikirkan…kita yang dewasa pun terasa hati dan ada rasa malu bila dimarahi di depan orang ramai, inikan pula kanak-kanak.

JANGAN ME’RASUAH’ ANAK UNTUK DIAM DENGAN GULA-GULA DAN AISKRIM.
Kanak-kanak memang mudah tenang dengan pemberian gula-gula dan aiskrim. TETAPI sekiranya ketika anak kita tantrum dan kita tiada kedua-dua makanan ini, kemungkinan besar anak kita akan mengamuk lebih teruk kerana dia menanti diberi gula-gula dan aiskrim kerana sudah menjadi kebiasaan mereka dipujuk dengan kedua-dua makanan manis ini. Dan yang paling tidak best adalah apabila anak-anak kita sengaja tantrum walau tiada isu, demi mendapatkan gula-gula dan aiskrim.

JANGAN TERUS MEMBERI HANDPHONE/GAJET KEPADA ANAK-ANAK SUPAYA DIAM.
Ini adalah penyelesaian paling popular di kalangan ibubapa zaman ini kerana tidak dinafikan, ia sangat berkesan. Anak mengamuk, hulurkan saja handphone dengan video kartun yang sudah disiap- sedia dalam playlist YouTube, senyaplah anak yang menangis itu. Tetapi pernah kami saksikan sendiri anak tersebut hanya senyap untuk beberapa minit dan kemudian mencampakkan handphone ayahnya yang sedang dipegangnya ke lantai sehingga pecah. Maka ayahnya tidak dapat menahan marah dan menengking anaknya ini. Apa masalahnya di sini? Masalahnya adalah punca tantrum anak itu masih belum diselesaikan. Maka memberi handphone, adalah penyelesaian sementara yang diharapkan untuk hilangkan tangisan namun ia sebenarnya hanya‘compress’ perasaan anak itu.

JANGAN MENGATAKAN PADA ANAK BAHAWA MENANGIS ITU PERKARA YANG TIDAK BAIK.
Ini akan mengelirukan anak-anak di mana mereka akan tertanya-tanya adakah menangis sebagai cara komunikasi dan ekspresi merupakan perbuatan yang tidak baik dan tidak harus ditunjukkan. Jadi sehingga ke besarlah anak ini mungkin menganggap : sekiranya sedih atau sakit, mereka harus pendam perasaan dan bakal mengundang depresi. Ketahuilah, punca anak yang sedang tantrum ini samada sedang memahami ‘big feelings’ yang sedang dialaminya, sedang dalam kesakitan atau inginkan perhatian. Bila kita fikir cara mudah sebagai jalan penyelesaian, maka kita sebenarnya tidak cuba memahami akar umbi punca tantrum anak kita.

Dipetik dari tulisan Ibu Rose, seorang pakar keibubapaan tempatan, kami kongsikan TIPS TANGANI ANAK TANTRUM untuk bantu anda :

  1. Tanya dengan ikhlas dan penuh kasih sayang apakah punca dia menangis. Jika dia tidak tahu, boleh sediakan ‘MENU LIST’sebab.
  2. Bila sudah tahu puncanya, barulah mudah untuk kita offer bantuan.
  3. Kalau boleh, cuba tanya sekiranya mereka okay jika kita memeluk mereka kerana ada kanak-kanak yang ingin dipeluk dan ada yang perlukan ruang. Contoh ayat : “Kalau mama peluk, okay tak? Atau nak mama duduk dekat abang saja?”

Sebelum praktikkan tips Ibu Rose ini, PERINGATAN PENTING :
Pastikan anda sendiri TENANG terlebih dahulu dan penuh dengan perasaan kasih sayang terhadap anak anda itu. Walaupun kami faham, bukan mudah untuk cuba menenangkan emosi sendiri yang sedang stres dan malu kerana anak mengamuk di rumah orang. Tetapi, sekiranya kita tidak tenang, anak pun sukar untuk bertenang. Aura dan tenaga yang kita sampaikan, memainkan peranan penting untuk berada dalam tahap yang positif supaya anak kita pun cepat positif.

Dan, JANGAN LUPA UNTUK BAWA ANAK KE RUANG ATAU BILIK LAIN supaya tidak disaksikan oleh orang lain. Anak-anak akan lebih mudah berkomunikasi dan berkongsi ekspresi dengan kita bila tidak diperhatikan oleh orang lain.

Selepas anda lakukan 2 perkara penting ini, barulah mudah untuk anda praktikkan tips-tips yang dikongsikan di sini.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.