Tips Terbaik Pakar Nutrisi Atasi Ruam Lampin

Pernah hadapi situasi di mana anak kecil kesayangan anda tiba-tiba tantrum dan menangis tanpa henti, tanpa sebab? Dan anda jadi buntu tidak pasti apa yang harus dilakukan kerana segala-galanya sudah hampir sempurna dan anak anda ditatang dengan penuh kasih sayang dan perhatian.

Mila : “Mak, Mila tak tahu la kenapa Daniel menangis ni mak. Pening kepala Mila mak. Tadi okay je happy siap menari-nari comel tengok video Coco Melon Mila pasang. Tiba-tiba dia menangis macam kena sampuk. Apa Mila nak buat ni mak?”

Mak : “Cuba Mila check pampers dia. Tengok celah-celah kaki, celah pinggul dia. Ada merah-merah tak?”

Mila : “Ha’ah la, mak. Merah ni. Teruk sangat ni macam terkopek-kopek kulit.”

Mak : “Haaa. Tu ruam lampin dah teruk tu. Awak ambil kain lembut yang bersih, rendam dalam air sejuk, lapkan sikit bahagian merah-merah tu untuk kurangkan sakit anak awak tu. Jangan kesat. Dab dab saja perlahan-lahan. Kemudian, pakaikan seluar anak awak tu tanpa lampin, bagi bernafas sikit bahagian ruam tu. Bawa lampin dan seluar ekstra. Pergi terus ke klinik jumpa doktor minta periksa dan beri ubat. Lain kali kalau anak menangis tak tahu sebab, check dulu lampinnya, Mila. Mak dah pesan awal-awal dulu kan, apa-apa check lampin anak…”

Itu dia. Nasihat seorang ibu kepada anaknya. Mila adalah ibu muda yang teruja baru dapat anak pertama. Jadi, apa-apa masalah berkaitan anaknya memang akan dirujuk dari ibunya. Sudah berkali ibunya mengingatkan Mila tentang lampin, tidak dihiraukan Mila. Sekarang sudah teruk, barulah Mila menyesal.

Kebanyakan ibubapa muda seperti Mila sudah sedia maklum tentang potensi untuk anak-anak kecil mereka menghadapi masalah ruam lampin.

Iya benar, masalah ruam lampin adalah satu masalah yang biasa dihadapi oleh ibubapa. Namun disebabkan terlalu biasa masalah ini dan dianggap sebagai isu kecil, kebanyakan ibubapa tidak mengendahkannya sehingga ada yang tidak sedar mereka tidak sengaja membiarkan keadaan ruam ini semakin teruk. Dan bila semakin teruk, anak-anak akan mula berasa tidak selesa dan setiap pergerakan akan menyakiti anak kita.

Kasihan.

Tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk pastikan anak kita selesa. Kenapa kita ambil lewa?

Ruam lampin, bila sudah terkena pada anak kita, ia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Daripada iritasi tahap sederhana sehinggalah tahap paling teruk, kami mendapati ramai ibubapa yang sedar tentang isu ini menjadi sangat stres dan mati akal untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.

Penyelesaian paling cepat, dibawa ke klinik jumpa doktor.

Pelbagai cara dan petua, dari cara yang moden hinggalah ke cara tradisional, macam-macam juga sudah dicuba tetapi ruam lampin anak masih lagi tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Tetapi harus diingat, segalanya bermula dari kita sendiri. Jika dibawa jumpa doktor dan cuba pelbagai cara tapi kita sendiri tidak ambil langkah berhati-hati dan ambil serius untuk praktikkan pencegahan yang betul, tiada gunanya terutamanya dari segi pemakanan anak. Segala kesakitan bukan saja perlu diperbaiki dari segi fizikal, ia juga memainkan peranan dari segi dalaman iaitu diet pemakanan anak anda.

Antara sebab-sebab utama bayi mudah terkena ruam lampin adalah kerana :

  • Tekstur lampin yang tidak sesuai dan keras
  • Pemakaian lampin yang terlalu ketat
  • Tidak ditukar secepat mungkin apabila lampin sudah berat dengan tampungan bahan buangan
  • Kulit terdedah terlalu lama pada bahan buangan dengan tahap PH atau alkali yang tinggi

Menurut pendapat Dr. Tracy Shafizadeh, seorang pakar biologi nutrisi dari California, sebab utama kebiasaannya terjadi ruam lampin adalah kerana kulit bayi terdedah pada kelembapan yang terlalu lama seperti najis dan air kencing.


TAHUKAH ANDA?
Tahap PH atau alkali yang tinggi di dalam najis dan air kencing memainkan peranan kerana enzim dalam tinja yang mengaktifkan kesan iritasi yang menyebabkan ruam lampin terjadi.

Tahap PH yang sihat untuk bahan buangan seorang bayi adalah 5.0. Tetapi kadang-kadang ia boleh meningkat sehingga ke 6.5 yang boleh menyebabkan ruam lampin. Alat uji PH boleh didapatkan di farmasi untuk membantu anda memeriksa tahap PH bahan buangan anak anda supaya anda tahu untuk mengatur diet pemakanan anak anda dengan betul.

Jadi kesimpulannya : RUAM LAMPIN BOLEH DIKAWAL DAN DIATASI DENGAN PENCEGAHAN DAN PENJAGAAN YANG BETUL, SECARA LUARAN DAN DALAMAN.


Apakah penyelesaiannya?

Tidak perlu kurangkan makanan berasid
Ramai yang menganggap makanan berasid tinggi seperti buah beri, tomato dan oren perlu dielakkan. Walhalnya kalau bahan buangan kurang asid, ianya akan memberi risiko lebih tinggi untuk dapat ruam pada kulit bayi. Jadi, kita boleh kekalkan rutin pemakanan bersama makanan berasid namun kawallah ia supaya tidak keterlaluan. Sesuatu keperluan, kalau terlebih tidak elok, kalau terkurang pun tidak elok. Setuju?

Kembalikan semula bakteria baik dalam usus perut bayi
Ini akan membantu mengawal PH secara semulajadi. Bifidobacterium infantis adalah bakteria baik yang penting untuk imunisasi dan penghadaman bayi. Jadi bermula dari bulan pertama, Dr Tracy mencadangkan pengambilan probiotik khusus untuk bayi dimasukkan ke dalam diet pemakanan anak kita. Jenama yang khusus dicadangkan memberi kesan positif adalah jenama Evivo, probiotik khas untuk bayi yang dijamin boleh memperbaiki PH kembali ke tahap yang sihat. Namun dinasihatkan dapatkan nasihat doktor atau pakar farmasi terlebih dahulu sebelum mendapatkan apa saja produk untuk mengubati ruam anak anda kerana setiap antibodi seseorang manusia lain-lain. Bimbang anak anda punyai alahan terhadap ubat atau apa saja yang tidak kena dengan sistem imunisasi badan anak anda.

Lebih berjaga-jaga sekiranya anak sedang mengambil antibiotik
Antibiotik biasanya diambil sekiranya kita dan anak-anak demam atau mengalami sebarang kesakitan, biasanya untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Namun tak ramai tahu ia juga ada kesan sampingan yang tidak baik. Antibiotik bertujuan untuk menghapuskan segala jenis bakteria namun ia juga mampu melenyapkan bakteria baik supaya bahagian kolon kita lebih beralkali. Dan ia juga boleh menyebabkan pembuangan najis yang lebih kerap serta cirit-birit yang pastinya akan menyebabkan terjadinya ruam lampin di pinggul anak kita. Jika ini berlaku, kita perlu lebih peka dan kerap periksa lampin anak dan selalukan menukar lampin supaya boleh mengelak dan mengesan tanda-tanda ruam dengan lebih awal.

Berikan peluang untuk pinggul anak anda ‘bernafas’ dari pemakaian lampin. Selain dari mengkerapkan menukar lampin anak, kita juga harus memberi peluang untuk pinggul anak kita ‘bernafas’ dari pemakaian lampin di rumah. Bersihkan bahagian ruam tersebut dengan kain lembut tanpa sabun, dan biarkan kering dengan bantuan udara. Jika anda bimbang anak terbuang air kecil atau air besar, boleh letakkan selimut atau kain kalis air untuk memudahkan proses pembersihan.

Kami berharap dengan tips-tips ini, anda berjaya mengelakkan anak anda dari terkena ruam lampin yang teruk. Lebih baik mencegah dari merawat. Penjagaan dan pencegahan awal dapat membantu supaya anak anda lebih sihat dan gembira. Dan bila anak anda gembira, anda juga gembira. Setuju?

Semoga tips-tips dari Dr Tracy ini dapat membantu anda memberikan keselesaan maksima untuk anak kesayangan anda.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.