Vaksin Batuk Kokol Semasa Hamil

Tahukah anda bahawa penyakit batuk kokol atau pertussis boleh menjangkiti sesiapa pun, termasuklah juga para ibu hamil?

Penyakit batuk kokol sering dikaitkan dengan bayi dan kanak-kanak. Namun, sebenarnya ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja termasuklah orang dewasa. Biarpun orang dewasa telah mendapatkan vaksin batuk kokol (DtaP) semasa kecil, akan tetapi tidak mustahil bahawa imuniti daripada vaksin tersebut berkurangan setelah dewasa. Jika orang biasa yang membawa penyakit tersebut, kesannya adalah amat bahaya kepada bayi dan anak kecil, sehingga boleh menyebabkan kematian.

Tanda-tanda orang dewasa mengalami batuk kokol:

  • Batuk berpanjangan selama beberapa minggu.
  • Sukar tidur.
  • Hidung berdarah.
  • Pneumonia.

Bagi mengelakkan masalah ini, wanita hamil boleh membantu melindungi bayi mereka dengan mendapatkan vaksin batuk kokol. Vaksin ini disarankan untuk diambil semasa usia kehamilan ibu antara 16 minggu sehingga 32 minggu. Jika anda terlepas atau terleka untuk mendapatkan vaksin semasa tempoh tersebut, usah risau kerana anda masih boleh mengambilnya sehingga sebelum anda bersalin. Walau bagaimanapun, vaksinasi yang diterima pada peringkat tersebut bukanlah khusus untuk melindungi bayi, sebaliknya membantu melindungi anda daripada mendapat penyakit batuk kokol sekali gus mengelakkan bayi daripada terkena penyakit tersebut.


Untuk pengetahuan anda
Dos pertama imunisasi DTaP (difteria, kancing gigi dan batuk kokol) akan hanya diberikan kepada bayi semasa usia mereka dua bulan. Jadi, dalam tempoh sebelum itu, bayi anda berisiko juga.


Mengapa ibu hamil disarankan untuk mendapatkan vaksin batuk kokol?
Mendapatkan vaksin semasa hamil adalah jalan yang lebih efektif untuk anda melindungi si manja daripada mendapat penyakit batuk kokol terutama pada minggu-minggu terawal dalam kehidupan mereka.

Imuniti yang anda dapat daripada vaksin akan disalurkan kepada bayi melalui plasenta. Dengan cara ini, bayi anda akan mendapat perlindungan daripada batuk kokol untuk tempoh lebih kurang dua bulan usia mereka.

Adakah vaksin ini selamat untuk ibu hamil?
Banyak pantang larang yang ibu hamil perlu ikuti, antaranya ialah larangan dalam mendapatkan vaksin. Sudah tentu ibu hamil risau akan keselamatan bayi dalam kandungan jika mengambil vaksin semasa sedang hamil.

Namun, untuk vaksin batuk kokol, tiada bukti yang menunjukkan bahawa vaksin ini bahaya untuk anda mahupun bayi dalam kandungan. Pemberian vaksin kepada wanita hamil telah banyak dilakukan di negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, UK, Argentina, Belgium, Spain, Australia dan New Zealand.

Rujukan:

  • www.nhs.uk/conditions/pregnancy-and-baby/whooping-cough-vaccination-pregnant
  • immunise4life.my/diseases/bagaimana-kepompong-boleh-melindungi-daripada-batuk-kokol/?lang=ms
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.