Udara Di Dalam Rumah: Adakah Ia Selamat Untuk Seisi Keluarga?

Ramai yang menyangka bahawa pencemaran udara hanya berlaku di luar rumah seperti di jalan raya, kawasan perkilangan, tapak pembinaan, dan sebagainya. Akan tetapi, anda perlu tahu bahawa terdapat banyak jenis kontaminan yang terdapat di dalam rumah, yang boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang keluarga anda?

Nak buka pintu dan tingkap-tingkap untuk mengudarakan rumah, risau pencemaran di luar masuk ke dalam rumah. Nak biarkan semuanya tutup selalu, pasti rimas disebabkan tiada udara segar masuk rumah. Apakah jawapannya? Kena rajin bertindak untuk meningkatkan kualiti udara di dalam rumah, itu saja.

Berikut merupakan enam tips bagaimana anda dapat menjadikan udara di rumah anda segar dan bersih.

1. Nyahdebu, hama
Debu dan hama adalah musuh utama rumah anda selain daripada habuk. Mikroorganisma ini hidup dan membiak dalam kawasan yang mempunyai kelembapan yang tinggi. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang dikelilingi debu dan hama lebih cenderung untuk mengalami alergik serta penyakit asma.

Bagi menyahkan hama di dalam kediaman anda, cara pertama adalah dengan mengawal tahap kelembapan di dalam rumah. Gunakan penyahlembap jika perlu. Kerap vakum atau bersihkan perabot-perabot dan juga lantai. Membasuh cadar atau sarung bantal dengan air panas juga membantu untuk menghilangkan hama.

Musnahkan hama
Selain cadar dan sarung bantal, hama juga terdapat pada tilam, selimut, mainan kain, karpet dan beberapa tempat lain sebelum hinggap di kulit manusia.

2. Pilih cat VOC rendah
Cat mengeluarkan banyak gas – biarpun ia telah kering sepenuhnya. Gas-gas ini termasuklah bahan kimia toksik yang tinggi seperti formaldehyde dan acetaldehyde, yang masih dikeluarkan oleh dinding yang dicat, walaupun telah kering dan tidak berbau lagi.

Gunakan cat dan sapuan dengan VOC rendah. Ketika melakukan kerja-kerja mengecat di dalam rumah, pastikan semua tingkap dibuka untuk memudahkan peredaran udara.

Lebih baik lagi jika anda gunakan kipas ekzos untuk mengeluarkan gas.

Selepas kerja mengecat, basuhlah bekas dan alat-alat mengecat dengan bersih dan keringkan sepenuhnya sebelum disimpan di tempat yang sesuai.

3. Pengesan Karbon Monoksida
Gas karbon monoksida adalah beracun dan berbahaya kepada manusia. Pendedahan kepada gas ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh sakit. Kadangkala, simptom-simptom awal yang dihadapi oleh mereka yang terdedah dengan gas ini ialah tidak ketara, seperti selesema atau batuk biasa. Jadi jika ada salah seorang daripada ahli keluarga anda yang mengalami masalah selesema seperti itu dan anda juga merasakan udara di luar lebih baik dari di dalam rumah, mungkin anda sekeluarga terdedah kepada masalah pendedahan gas karbon monoksida.

Tahap karbon monoksida boleh meningkat dengan cepat terutama di dalam kawasan yang tidak mempunyai peredaran udara yang baik.

Lindungi keluarga anda dengan memasang pengesan karbon monoksida berhampiran dengan bilik tidur anda.

Selain itu, pastikan semua peralatan elektrik yang menggunakan elemen pembakaran diselenggara oleh juruteknik yang berkelayakan setahun sekali.

4. Pastikan peredaran udara sempurna
Tahap kelembapan yang tinggi disertai dengan pengudaraan yang tidak baik di rumah pula akan meningkatkan pertumbuhan bakteria dan kulapok, yang mana bukan sahaja akan merosakkan rumah anda tetapi juga membahayakan kesihatan. Bakteria dan kulapok mampu menyebabkan seseorang itu mengalami bermacam-macam simptom, dan di antaranya merupai batuk dan selsema biasa. Ada juga yang akan mengalami asma terutama mereka yang ada alahan.

Jangan kata aktiviti harian di rumah- seperti memasak dan membasuh, namau bernafas juga akan menghasilkan wap air, jadi anda perlu memastikan peredaran udara di ruang kediaman anda terpelihara bagi menghapuskan lembapan yang terdapat di udara.

Cubalah cara-cara berikut bagi menyahlembapkan udara di tempat yang perlu di kediaman anda.
A) Pasang kipas ekzos di bilik air bagi menghilangkan lembapan dan juga menyahbaukannya
B) Pastikan kipas ekzos dilepaskan ke luar rumah dan bukannya menghala ke ruang lain dalam rumah anda
C) Baiki kerosakan-kerosakan di rumah yang disebabkan kulapok atau kebocoran, supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk

5. Pasang kipas pengalih udara di dapur
Suri rumah mana yang tidak ingin dapur mereka berasap – tanda ada rezeki, bukan? Namun, tahukah anda bahawa asap daripada dapur juga merupakan punca pencemaran udara di dalam rumah, terutama jika anda menggunakan dapur gas? Ya, kajian yang dilakukan oleh pakar menunjukkan aktiviti memasak walaupun satu hidangan pada dapur gas akan menghasilkan gas nitrogen dioksida yang mengandungi EPA yang tidak selamat untuk dihidu.

Pastikan aliran udara di dapur anda bebas ke luar atau buka tingkap dapur ketika memasak. Selain itu, carilah kipas pengalih udara yang direka khas untuk dapur.

6. Permaidani memang cantik, tetapi…
Adakah anda suka ‘menghias’ lantai dengan permaidani yang tebal? Mungkin anda perlu meneliti balik kegemaran anda itu. Penggunaan permaidani adalah salah satu punca udara di dalam rumah anda tercemar.

Permaidani memerangkap pelbagai jenis mikroorganisma dan selain jika anda rajin mevakum setiap hari, keadaan ini menjejaskan kesihatan anda sekeluarga. Selain itu, kebanyakan permaidani juga mengandungi kandungan VOC boleh membahayakan kesihatan anda sekeluarga. Ingat lagi bau permaidani semasa ia masih baru? Itulah bau campuran kimia untuk menghasilkan permaidani, warna dan corak-coraknya.

Bukan itu saja, namun permaidani juga mampu menyerap bahan kimia, sama ada yang berasal dari luar rumah, atau pun di dalam rumah.

Menjaga kualiti dan kesegaran udara di dalam rumah adalah tanggungjawab anda, oleh itu, bertindaklah dengan wajarnya supaya rumah anda selamat untuk dihuni.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.